Korban kasih
Posted By Kak Long on October 26, 2009
Hak seorang anak untuk mendapatkan kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapanya memang tidak boleh dinafikan.
Oppocot! Jangan melatah….Saya bukan nak bagi ceramah, tentang bagaimana seorang ibu atau bapa mengasihi anaknya. Cuma dalam minggu ini, saya agak sibuk menguruskan salah satu hal yang berkaitan dengan isu ini menyebabkan salah seorang pelajar saya tidak mahu datang ke sekolah berhari-hari lamanya.
Assalamualaikum cikgu. nie xyz…(bukan nama sebenar), cikgu saya mintak maaf sebab x hadir ke sek selama xx hari… dan mungkin tak hadir lg… cikgu tanya la bapa sy knp sy x hadir ke sek…sbb sy dah beritahu dia segala2nya…t.kasih cikgu.
Sms ini saya terima daripada pelajar saya. Mungkin sms ini nampak biasa, tetapi ada cerita yang sepatutnya boleh dielakkan berlaku di sebaliknya. Sebaik mendapat sms tersebut, saya terus menelefon pelajar tersebut. Sebenarnya, pagi tersebut, saya telah diminta oleh pihak sekolah untuk menelefon bapanya berkaitan dengan ketidakhadiran anak beliau. Saya memang mengenali bapa pelajar dan wanita yang terlibat dalam hal ini. Apabila saya menelefon, beliau seperti mengelak untuk membicarakan tentang anaknya itu.
Sebenarnya, saya sudah lama dengar cerita keluarganya. Cuma saya tidak mahu masuk campur kerana hal ini hal keluarga. Lagipun, biarpun telah lama bermasalah, namun pelajar ini tidak menunjukkan secara terang-terangan bahawa dia menghadapi masalah. Namun selepas sahaja cuti semester yang lepas, saya mula perasan perubahan air mukanya. Di dalam kelas pun, dia seperti kurang bersemangat sedangkan dia merupakan seorang pelajar yang sangat aktif. Pelajar ini memberitahu saya bahawa dia mahu berpindah dan tinggal di kampung kerana menurutnya, kalau dia tidak boleh tinggal lagi dengan bapanya kerana tidak mahu berbuat dosa. Dia memberitahu bahawa dia dan abangnya sudah lama tidak bertegur sapa dengan bapanya.
Saya rasa bertanggungjawab untuk memikirkan sesuatu untuk pelajar saya, sekurang-kurangnya menenangkannya kerana saya tahu dia memang pelajar yang berpotensi. Tambahan pula saya merupakan guru kelasnya. Bergenang air matanya waktu menceritakan kisah keluarganya. Saya cuba memahami perasaan hatinya. Hati siapa yang tidak sedih apabila melihat rumah tangga ibu bapanya yang secara terang-terangan menuju kehancuran. Hati siapa yang tidak luka bila semua pakaian dan perkakasan sekolah yang telah dibeli diambil dan diletakkan di rumah perempuan lain yang kini menjadi tumpuan bapanya. Dalam hal ini, masing-masing ada persepsinya sendiri. Kita tidak tahu apa sebenarnya terjadi dalam kehidupan sesebuah rumah tangga. Saya cuma mampu menasihatinya agar jangan bertindak sesuatu yang mampu merosakkan masa depannya sahaja.
Saya sedar bahawa bagi sesiapa pun sebagai orang luar hanya mampu memberikan semangat dan kata nasihat sedangkan ada masanya, masalah tersebut masih belum mampu difahami oleh mereka yang masih muda remaja ini. Mereka tidak mampu menerima hakikat bahawa seorang bapa sanggup mengenepikan perasaan anak-anak demi menunaikan hajat di hati. Mereka juga tidak mampu menerima bahawa ibu mereka sanggup dilukakan demi kasih bapa yang telah beralih arah kepada wanita lain yang lebih muda.
Sebenarnya kes ini agak susah untuk ditangani kerana pelajar itu terpaksa menghadap muka wanita tersebut setiap hari. Saya faham perasaan sedihnya apabila menjadi mangsa usikan rakan-rakan yang rata-rata telah mengetahui kisah ini. (maaf saya tidak boleh mendedahkan bagaimana dan mengapa kebanyakan rakan-rakannya tahu tentang hal ini….) Dia berasa malu untuk hadir ke sekolah. Tetapi, saya juga bimbang jika dia berpindah tinggal bersama datuk dan neneknya ke negeri lain, mungkin ada masalah lain pula yang timbul.
Kes ini bukan kes pertama yang berlaku. Banyak kes yang melibatkan pelajar yang menjadi korban keretakan rumahtangga ibu dan ayah. Apabila berbincang dan menasihati pelajar tentang masalah pembelajaran mereka, sering saya tegaskan agar mereka tidak perlu masuk campur tentang masalah rumah tangga ibu bapa mereka sehingga mampu merosakkan masa depan mereka sendiri.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul……………………….
Cerita ini tidak memang ada kena-mengena dengan mereka yang masih hidup ataupun mereka yang telah meninggal dunia.
Kak Long – Kehidupan ini mempunyai banyak kemungkinan yang sukar untuk dijangkakan.


sayunya hati baca kisah budak nieh.
sha tak.leh bayangkan betapa dia menanggung malu.
sha masih boleh faham kisah poligami dan kehancuran rumah tangga, tp sha tak paham kenapa anak yang perlu tanggung tempiasnya?
tak boleh ke buat apa2 dengan cara yang terhormat?
* kak long pulak macam mana? ada2 apa2 tindakan?
Sha…memang menyedihkan bila anak-anak jadi mangsa.
Kak Long hanya mampu beri nasihat pada pelajar Kak Long tu supaya dia tak buat perkara yang boleh merosakkan masa depan dia.
Yang lain tu, Kak Long tak layak nak nasihatkan.
Tapi pihak pentadbiran dah cuba panggil orang yang sepatutnya.
Kami juga cuba fikirkan utk carikan jalan terbaik spy dpt tempatkan pelajar tersebut agar pelajarannya tak terganggu.
Memang nak kena sekeh bapak budak tu… Walau apa pun masalah rumahtangga, anak-anak tak perlu dikorbankan sama. Tie merasa sangat2 simpati kepada pelajar tersebut.
Mungkin kak long boleh cuba berikan dia perangsang.. jadikan perkara ini suatu cabaran untuk dia lebih tekad majukan diri. Galakkan dia untuk buktikan dirinya dan orang lain bahwa dia boleh berjaya harungi dugaan ini dengan jayanya….
Kita tak tahu masalah dia orang.
Susah nak menunding jari pada mana-mana pihak.
Cuma harapan kita pada setiap ibu dan bapa jangan hanya mementingkan diri sendiri.
Iyalah…Kak Long pun cuma boleh memberikan nasihat dan perangsang kepada pelajar tersebut supaya tabah dan jangan terlalu mengikut perasaan hingga merugikan diri sendiri.
alahai sedehnya kisah kt ats ni..saya bersyukur org tua saya baik2 dan memahami perasaan anak2…..
Alhamdulillah En. Azizan,
Kita dikurniai ibu bapa yang baik-baik dan memahami perasaan anak-anak….
begitulah…nasib manusia tak sama…
bukan sebagai cikgu sahaja kak, sebagai pembaca di blog ini pun sukar untuk menjangka apa yang bakal berlaku pada hari berikutnya.
sedih dan pilu apabila mengenang nasib pelajar tersebut yang mungkin akan merosakkan masa hadapannya kelak! lebih memilukan sikap bapanya sedemikian rupa.
kisah-kisah sebeginilah yang membangkitkan perasaan kebapaan dan apatah lagi keibuan yang turut sama terkesan akan kisahnya.
persoalannya, sebelum ianya lebih memburukkan keadaan adalah lebih baik cuba untuk menyelamatkannya.
Terima kasih megat atas pandangan yang diberikan.
Memang sedih memikirkan kisah2 sebegini yang kadang-kala mengorbankan orang yang tidak bersalah.
Insya Allah, kami semua di sini sedang cuba memberikan perhatian pada kes ini agar tiada seuatu yang buruk berlaku.
kita ni selalu terlupa bahawa anak ini adalah tanggungan kita dunia akhirat dan yg nak jadi lagi POWER tanggungan itu bukan setakat anak tu tapi keturunan yang dihasilkan oleh anak tu. Malanglah lah kita kalau salah mencorak anak..ya Tuhan bantulah aku mendidik anak-anak yang ada ini.
Ada yang sengaja melupakan tanggungjawab kerana memikirkan keseronokan dan kepentingan diri di dunia sahaja.
Sungguh malang jika hanya tahu tetapi tidak mahu melaksanakannya.
Semoga Tuhan memakbulkan doa Denaihati…
csian adik tu..moga dia tabah menghadapi ari yg mendatang..
begitulah harapan kami, semoga dia tabah.
kita doakan moga dia tidak memilih jln yg salah dan musnahkan masa depannya.
Amin…sama-samalah kita mendoakannya sementara kami di sini berusaha melakukan tindakan yang sepatutnya.