Peribahasa Bagai Dilanda Garuda, begitulah sepinya kawasan tempat bertugas Kak Long beberapa hari ini.
Sejak Jumaat lalu, kawasan tempat tinggal dan tempat bertugas Kak Long tiada bekalan air. Pelajar asrama yang telah pulang semula pada hari Ahad lalu terpaksa bertahan dalam keadaan yang agak mencabar. Menghadapi hari-hari permulaan Ramadan serta mengangkat air turun naik tangga yang dihantar oleh SAINS pada lewat malam. Ada juga yang pulang semula ke rumah kerana ibu bapa merayu untuk membawa pulang anak mereka kerana masalah air ini. Sekolah tidak mengumumkan cuti namun memang ramai pelajar yang tidak pulang semula ke asrama setelah mendengar pengumuman bahawa bekalan air hanya akan pulih pada hari ini dan berita akhir, 5 hb.
Bagi Kak Long sendiri, pada hari pertama berpuasa, sekolah kami meneruskan persekolahan seperti biasa. Negeri tidak bercuti pada Awal Ramadan. Tugas tetap dijalankan. Kami mendapat Tok Ketua yang baru. Namun keadaan di sekolah seperti dilanggar garuda kerana bilangan pelajar yang hadir boleh dibilang dengan jari.
Bila pulang ke rumah,bekalan air yang disimpan di dalam tangki habis sepenuhnya setelah 3 hari bekalan air terputus. Ada kawan-kawan yang telah menginap di hotel sekitar Seremban kerana setitik airpun tiada dan dalam masa 3 hari itu, tiada satu lori SAINS pun yang menghantar bekalan air di lorong rumah kami. Yang peliknya, bila kami membuat aduan, mereka mengatakan telah ada 8 lori yang dihantar untuk membekalkan air di kawasan perumahan kami namun yang Kak Long dapati, sebaik sahaja sampai di fasa bersebelahan, lori tersebut berpatah balik kerana kehabisan air dan tidak timbul-timbul lagi. Bila ditelefon, talian bebas tol untuk aduan memang sentiasa tidak dapat ditembusi kerana sibuk. Kak Long masih bernasib baik kerana masih berpeluang mendapatkan air minuman daripada rumah adinda yang hanya 30 minit daripada rumah Kak Long. Bersyukur kerana dapat juga mengangkut tong-tong air dari rumah adinda. Simpati sungguh dengan mereka yang tidak mempunyai punca lain. Kak Long juga memasak di rumah adinda untuk juadah berbuka puasa dan sahur. Selepas sembahyang terawikh barulah kami pulang semula ke rumah.
Kita pasti mengerti perasaan ibu bapa yang pastinya tidak sampai hati membiarkan anak-anak melalui hari-hari mereka dalam ketidakselesaan. Namun, mengenangkan peperiksaan yang semakin hampir, persekolahan tetap diteruskan seperti biasa. Guru-guru tetap mengajar walaupun sesetengah kelas hanya dua atau 3 orang pelajar sahaja yang sanggup bertahan di sekolah. Tidak adil pula kalau pengajaran & pembelajaran ditangguhkan hanya kerana bilangan yang sedikit kerana pelajar yang begitu gigih hadir itu tidak patut dinafikan haknya.
Kak Long Mawar Merah : Minta maaf agak terhad di depan skrin komputer.