Hampir pukul 11 pagi, barulah Tok Ketua pulang dari PPD dan slip keputusan peperiksaan berada di tangan kami. Selepas ucapan ringkas @ pengumuman dilakukan oleh Tok Ketua, pelajar mula beratur untuk mengambil keputusan masing-masing. Sungguh meriah suasana ketika itu. Penuh dengan jeritan dan tangisan kegembiraan daripada mereka yang menerima keputusan peperiksaan mereka.
Alhamdulillah, keputusan Peperiksaan SPM 2010 bagi sekolah kami telah menunjukkan peningkatan yang amat memberansangkan dan pastinya hati berbunga riang bila Tok Ketua mengumumkan bahawa sekolah kami mendapat kedudukan pencapaian terbaik sekolah-sekolah di daerah itu.
Sungguh terharu apabila melihat para pelajar mengucapkan terima kasih sambil menitiskan air mata kegembiraan menatap keputusan peperiksaan SPM mereka. Pastinya segala usaha yang telah dilakukan terasa berbaloi menatap askara yang tercatat dalam slip tersebut.
Tahniah diucapkan kepada calon-calon yang berjaya mendapat keputusan SPM yang cemerlang. Pastinya kejayaan ini merupakan hadiah paling berharga buat ibu bapa, keluarga dan guru-guru anda. Bagi yang lain, biar bagaimanapun, anda semua sebenarnya sama-sama berjaya kerana kejayaan bukan hanya pada deretan A+ yang tercatat pada keputusan sijil SPM yang diperoleh, tapi juga segala ilmu dan pegalaman yang telah anda peroleh semasa bergelar pelajar.