
Semalam hari guru. Janji telah ditunaikan. Pengumuman tentang pelbagai kejutan memang telah diumumkan.Masih perlu memahami sepenuhnya apa yang diumumkan itu, kerana bukan semua orang akan menikmati pelbagai ‘hadiah’ itu. Lagipun bukan semua khabar akan lebih indah dari rupa..ehem! ehem!
Biarpun begitu, tak ada rasa terkilanpun, sebab bila kita jadi guru, kita telahpun mengukir ikrar untuk berbakti tanpa sebarang ganjaran. Lagipun, ganjaran dunia pastinya takkan dapat menandingi ganjaran di sana, dalam apa bidang sekalipun kerana yang penting kita semua menunaikan tanggunjawab yang diamanahkan kepada kita dengan sebaik mungkin.
Hari Guru kali ini jatuhnya sehari sebelum cuti umum. Jumaat lepas pelajar dibenarkan pulang ke rumah, dan ramai yang mengambil kesempatan untuk menyambung cuti kerana menyedari bahawa hari Isnin akan diadakan sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah. Keadaan dewan sekolah agak lengang. Ramai yang melahirkan rasa terkilan kerana hanya cikgu-cikgu mereka ni sahaja syok sendiri meraikan Hari Guru yang pastinya tidak mempunyai sebarang makna buat sebahagian besar pelajar-pelajar kami.
Namun begitu, besar juga hati apabila menerima sms daripada bekas-bekas pelajar yang masih mengingati guru mereka ini. Dan lebih menggembirakan bila menerima hadiah besar iaitu berita bahawa ramai bekas pelajar tahun lepas yang telah menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Dan ada juga bekas pelajar yang telah bekerja mengambil cuti semata-mata untuk datang dan bertemu kami di sekolah. Memang sungguh terharu.
Selamat Hari Guru buat teman-teman guruku serta mantan guruku sejak di bangku sekolah ‘tumpang’ hinggalah ke menara gading. Budi dan jasa kalian tetap tersimpul kemas dalam ingatan.
`
Hari ini saya agak sibuk dengan tugas sebagai penyelaras pertandingan perbahasan, sampai nak sarapan pun tak sempat.
Jadual waktu saya juga agak padat. Sebaik sahaja selesai dua waktu yang pertama di dalam bilik darjah, saya bergegas menguruskan pertandingan. Memastikan tempat dan para petugas bersedia. akhirnya semuanya bermula dengan baik.
Selepas selesai urusan dan pertandingan bermula, saya berkejar semula ke kelas. Saya sampai ketika pelajar belum sampai ke kelas. Dalam perjalanan, ayahanda telefon mengucapkan Selamat Ulang Tahun. Iskk, iskk, iskk….. dah semakin tua saya ya. Sejak tengah malam tadi, saya telah menerima sms dan ucapan daripada mereka yang mengingati saya. Terima kasih.
Lebih kurang pukul 11 pagi, saya mencuri sedikit masa ke kantin. Hari ini, satu kejutan daripada pelajar saya sewaktu berada di kantin. Mulanya, hanya dua orang pelajar saya berjalan di belakang saya. Makin lama, makin ramai. Saya yang kelam-kabut nak minum, tiba-tiba terkejut apabila mereka menyanyikan lagu Selamat Ulang Tahun beramai-ramai. Puas saya suruh mereka berhenti nyanyi sebab semua pekerja dan pelajar yang ada di situ semuanya mula pandang. Malunya saya, bila dah tua-tua ni dapat nyanyian Happy Birthday macam tu. (Eh…dah tua? Hehehe…)
Semasa saya masuk ke kelas berikutnya, saya mendapat nyanyian lagi. Pelik juga saya memikirkan siapalah yang menyebarkan rahsia bahawa hari ini hari ulang tahun saya.
Saya gembira pertandingan perbahasan peringkat separuh akhir berjalan lancar. Semasa masuk ke bilik staf, ada sejambak mawar di atas meja. Terima kasih ya, kepada insan yang menghadiahkan sejambak bunga mawar yang indah itu.
Mawar Merah : Semasa saya berkunjung ke blog Kujie, saya membaca tentang sambutan jarak jauh antara Kujie dan suami. Kujie sambut dengan linangan air mata, tentu sayu mengenang abang yang jauh. Kalau awal-awal lagi tahu, boleh buat sambutan dengan saya sekali kan!
Semasa mengembara membaca blog demi blog, Kak Long terjumpa blog Sukra yang membicarakan simbol bunga mawar ni. Bukan tujuan Kak Long nak sambung entri terdahulu, cuma kalau yang nak tahu simbol tu, bolehlah berkunjung ke blog tersebut. Menarik juga kerana siap dengan sumber rujukan. (Ewah, macam promosi percuma aja ni).
Sebenarnya, waktu baca blog tersebut Kak Long terperasan kalender di sebelah, tiba-tiba terdetik di hati yang rupa-rupanya hampir berakhir bulan Januari dan beberapa hari lagi akan muncul pula bulan Februari.
Berbicara tentang bulan Februari, teruja Kak Long nak menulis tentang satu hari dalam bulan Februari ni yang sering dikaitkan dengan bunga mawar ni. Hem, Kak Long pasti ramai yang tahu apa harinya tu, kan? Kalau tak, takkanlah terlahirnya lagu ‘Sekuntum mawar merah, sebuah puisi’, lagu dendangan Alleycats yang amat popular yang antara senikatanya,
"Sekuntum mawar merah, sebuah puisi, untuk gadis pilihan, ohh... di bulan Februari"
Bulan Februari ni memang sangat popular dan sinonim dengan si bunga mawar merah terutama bagi pasangan yang sedang dilamun cinta. Walaupun Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 21 Februari 2006 telah memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine’s ataupun seringkali disebut ‘Hari Memperingati Kekasih’ mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya bercampur dengan perbuatan maksiat, namun masih ramai lagi antara kita yang tak sabar-sabar menanti kehadiran hari tersebut serta masih mengagung-agungkan hari tersebut terutama pasangan kekasih. Bukan setakat memberikan kuntuman-kuntuman bunga (yang paling popular pada hari tersebut, tentulah bunga mawar merah yang harganya lebih mahal pada hari tersebut berbanding hari-hari biasa) malahan, ada juga yang sanggup berhabis-habisan menyambutnya dengan makan malam di hotel-hotel terpilih yang berlumba-lumba menawarkan pakej istimewa (dengan harga yang tentunya istimewa mahalnya) sebagai cara untuk menyatakan perasaan kasih sayang ini, tidak kurang pula kini telah ada yang memperbesar hari tersebut dengan mengadakan pesta yang tidak bermoral. Yang paling sedih, orang yang terlebih-lebih menyambut hari yang dikatakan paling istimewa dalam bulan Februari itu ialah generasi harapan kita yang dilahirkan dalam sebuah keluarga Islam dan status agamanya ‘Islam’.
Walaupun ada yang berkata, tidak ada salahnya merayakan hari tersebut kerana niat kita adalah untuk merayakan dan menyatakan kasih-sayang, tetapi adakah budaya dan amalan yang meraikan satu hari yang secara terang-terangan telah diputuskan sebagai bertentangan dengan agama Islam itu berbaloi untuk menunjukkan kasih-sayang yang melimpah-ruah dalam hati kita terhadap orang yang dicintai. Kalau benar kasih sayang kita itu ikhlas dan abadi, pasti sahaja ia boleh diluahkan setiap hari tanpa perlu menanti satu hari pada bulan Februari yang telah dikaitkan dengan seorang paderi! Sama-samalah kita fikirkan.
Pagi ini sewaktu berkunjung dari sebuah blog ke blog yang lain, Kak Long terpesona dengan tajuk sebuah entri seorang penulis blog negara jiran yang bertajuk Katakan Cinta dengan Bunga. Bila baca, Kak Long teringat pula entri yang ditulis beberapa hari lalu, sebab Kak Long tertanya-tanya juga makna atau lambang warna sesuatu bunga mawar. walaupun Kak Long tahu penulis ni tak baca pun entri Kak Long tu, tapi entri yang ditulisnya seperti menjawab tanda tanya Kak Long. Kak Long tahu, mesti ramai yang maklum tentang lambang sesuatu warna bunga mawar ni, tapi pasti ada juga yang kurang tahu. Jadi, kalau yang tahu tu, apa salahnya berkongsi dengan Kak Long yang tak tahu ni. Lagipun ada banyak warna lagi bunga mawar ni kan?
