KUALA LUMPUR 2 Julai – Sebanyak 48 kes baru selesema babi atau influenza A (H1N1) dicatatkan hari ini di seluruh negara menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 244 kes.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sebanyak 36 kes membabitkan warganegara Malaysia manakala 12 warga asing iaitu Indonesia (4 kes), Singapura (2), Filipina (2), Australia (2) dan masing-masing satu kes rakyat China serta Itali.
Katanya, daripada 244 kes, sebanyak 206 kes adalah import manakala 38 kes lagi merupakan jangkitan tempatan dengan tiada kematian dilaporkan.
Antara petikan berita daripada Utusan Online hari ini….
Bila baca berita ni, rasa risau juga dengan wabak yang semakin hari semakin bertambah bilangan kesnya ini. Kak Long nak kongsilah sedikit apa yang disampaikan oleh Pegawai kementerian Kesihatan semasa mereka berkunjung ke sekolah Kak Long beberapa hari lepas.
Isnin lepas, diadakan satu ceramah kesihatan tentang H1N1. Mendengar ceramah itu, terasa betapa mudahnya virus ini berjangkit dan tidak hairanlah kenapa ia begitu cepat menular ke seluruh dunia.
Kami diberikan taklimat tentang kes-kes terbaru H1N1, juga tentang cara-cara untuk membendung daripada jangkitan virus ini. Antaranya:-
1) Elakkan tempat awam.
2) Kerap basuh tangan dengan sabun. Jika kemudahan mencuci tangan tidak didapati, gunakan bahan pencuci tangan antiseptik yang sesuai atau tuala kertas berantiseptik. Selepas itu, cui tangan dengan air sebaik sahaja anda boleh berbuat demikian.
Basuh tangan dengan cara yang betul.
Cara-caranya:-
a) Basuhkan tangan dan ratakan sabun dengan sempurna.
b) Gosok kedua-dua tapak tangan.
c) Gosok setiap jari dan celah jari.
d) Gosok kuku di tapak tangan.
e) Gosok belakang tangan dan celah jari.
f) Basuh tangan dengan air bersih secukupnya.
g) Keringkan tangan dengan kain bersih atau tisu.3) Gunakan tisu atau sapu tangan bila anda batuk dan bersin.
4) Elakkan menyentuh mata, hidung dan mulut.
5) Elakkan daripada melawat negara-negara yang dilanda dengan Influenza A (H1N1).
Semoga semua usaha untuk mengatasi wabak ini akan berjaya.