Sudah dua hari hujan lebat di kawasan sekitar tempat bertugas dan juga rumah Kak Long. Namun, ironinya, air paip berhenti mengeluarkan air di kawasan sekitar dan masih belum diketahui sebab musababnya.
Semalam warga sekolah kami mengadakan majlis perpisahan untuk Tok Ketua. Sebelum beliau melepaskan jawatannya di sini, beliau telah merasmikan Taman SPBT yang telah mula diusahakan sejak akhir tahun. Bilik BOSS sekolah kami telah menjadi Johan peringkat negeri dan sedang bertanding untuk peringkat kebangsaan. Pada sebelah tengah hari, kami ada persidangan terakhir bersama beliau. Hujan lebat di luar bilik persidangan sinonim dengan air mata beliau dan ramai guru-guru ketika itu. Banyak kejayaan semasa bersamanya seperti ucapan rasminya yang terakhir. “Kejayaan yang dicapai di sini bukan kejayaan saya tetapi kejayaan tuan-tuan dan puan-puan bersama saya.”
Memang agak menghairankan, kerana para pelajar juga ramai yang menitiskan air mata dan sedih dengan pertukaran beliau. Sekolah kami memang biasa dengan pertukaran pengetua dan guru-guru yang datang dan pergi menurut kehendak perkhidmatan, tetapi mungkin disebabkan banyak peristiwa yang mengingatkan keakraban beliau dengan pelajar dan guru-guru menyebabkan pertukaran kali ini lebih mengesankan.
Pagi ini, ada dua program di sekolah kami iaitu Anugerah Rakan Muda dan Teknik Menjawab Soalan SPM. Jalan sekitar memang sangat sesak sejak awal pagi lagi kerana kunjungan Perdana Menteri ke Port Dickson. Rancangan saya mahu ke satu majlis pada petang ini tergendala. Akhirnya duduk sahaja di rumah.




