Pengganti Rosyam Nor, Remy Ishak dan Aaron Aziz

Petang ini kami telah menganjurkan Pertandingan Drama Peringkat Sekolah. Seronok juga menonton drama yang dipersembahkan. Ramai yang berbakat rupanya dan dapat menghayati watak yang diberikan dengan baik. Hmmm…nampaknya dah ada Rosyam Nor Junior. Mana tahu, kalau diketengahkan, ada peluang nak ganti Remy Ishak dan Aaron Aziz pula nanti.

Selesai sudah aktiviti Bulan Bahasa tahun ini. Esok, akan diadakan penutup Bulan Bahasa. Dah nak habis sesi persekolahan tahun ini tak lama lagi.

Masa untuk memecut

Pada hari ini baru saya berkesempatan menjengok blog semula. Minggu baru akan bermula, bermaksud masa yang semakin sibuk semakin hampir buat pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam bermula dengan UPSR pada minggu ini, diikuti dengan PMR dan SPM & STPM.

Pelajar-pelajar saya akan memulakan kelas pecutan akhir pada minggu ini di kala adik-adik mereka yang berada di Tahun 6 bersedia menjawab soalan-soalan Peperiksaan UPSR. Kak Long pula rasa cemas. Semakin hampir waktu peperiksaan, semakin banyak memikirkan usaha-usaha untuk membantu para pelajar menyiapkan diri untuk melangkah ke Dewan Peperiksaan. Semoga segala usaha akan membuahkan hasil yang diharapkan.

Skrip jawapan Peperiksaan Percubaan SPM mereka telah selesai disemak dan semenjak hari pertama persekolahan selepas cuti Aidilfitri Kak Long telah memasukkan data markah. Lega rasanya apabila mendapati para pelajar mendapat pencapaian yang lebih baik kali ini. Semoga akan bertambah baik dan cemerlang pada Peperiksaan Percubaan Kali Ke-2 dan lebih-lebih lagi dalam Peperiksaan SPM nanti.

Mawar Merah : Kepada teman-teman yang mempunyai anak atau adik-adik yang akan menghadapi Peperiksaan UPSR, semoga tabah menemani calon-calon UPSR tersebut.

Yang dinanti

Hari ini hari ke sebelas umat Islam menunaikan ibadah berpuasa. Kegiatan harian diteruskan seperti biasa.

Jadual Peperiksaan SPM 2011 dah lama keluar. Bulan November seakan lama jika dilihat sepintas lalu tetapi sebenarnya akan cepat benar tibanya. Minggu ini agak sibuk membuat persediaan terakhir bagi membekalkan para pelajar untuk menghadapi Peperiksaan Percubaan SPM yang akan bermula pada 15 Ogos 2011. Tahun ini, mereka akan menghadapi Peperiksaan Percubaan pada bulan Ramadan. Sebenarnya banyak juga kelebihan peperiksaan dijalankan pada ketika ini. Membuat ulangkaji pada waktu pagi lebih mudah dijalankan, terutama selepas bangun sahur. Kak Long harap pelajar-pelajar Kak Long akan berjaya dalam Peperiksaan Percubaan SPM nanti.

Cikgu dia yang lebih debar ni, sebab tengok pelajar-pelajar nampak biasa sahaja. Teringat pula zaman persekolahan dahulu. Pada masa tu, semasa Peperiksaan Percubaan SPM lagi semangat peperiksaan tu dah lebih kurang sama seperti nak menghadapi Peperiksaan SPM.

Mawar Merah : Anda bagaimana pula? Jom kongsi pengalaman semasa menghadapi Peperiksaan Percubaan dahulu.

Keputusan Peperiksaan SPM 2010

Pastinya calon-calon dan mungkin lebih berdebar ibu-ibu calon peperiksaan SPM 2010 kerana esok keputusan peperiksaan SPM 2010 akan diumumkan.

Hari ini Kak Long dan rakan-rakan sibuk membuat persiapan awal untuk menyambut kehadiran bekas-bekas pelajar sekolah kami yang menduduki peperiksaan SPM 2010 yang lepas. Seawal jam 10.00 pagi, kami pasti bersedia untuk mengedarkan slip-slip keputusan peperiksaan itu nanti. Hari ini, segala fail yang mengandungi sijil-sijil, surat akuan dan pelbagai dokumen yang akan diserahkan telah siap dilebel dan diedarkan kepada bekas-bekas Guru Tingkatan mereka tahun lepas.

Mawar Merah : Cikgu pun tak kurang debarnya. Pastinya doa kami agar kejayaan yang cemerlang buat pelajar-pelajar kami. Semoga nanti mencipta kejayaan sebagai Pelajar Terbaik SPM 2010.

Kitalah Juara

Sukan sekolah telah berakhir. Lembing si Awang dah dikembalikan kepada si Dayang. Cakera telahpun dikembalikan ke dalam kotaknya.

Alhamdulillah, semuanya sudah selesai. Kak Long rasa gembira kerana rumah sukan kami berjaya menjadi juara keseluruhan. Dan paling menggembirakan, semua acara yang dipertanggungjawab pada Kak Long menunjukkan hasilan yang memberansangkan. Rumah sukan kami telah mendapat tempat dalam keempat-empat kategori yang dipertandingkan untuk acara tersebut walaupun bukan semua pinggat emas, tapi hampir semua peserta rumah sukan kami dalam kategori itu berjaya mendapat pingat. Hahaha…walaupun cikgu yang ajar dia orang tu, merejam lembing dan melempar cakera pun jauhnya sejengkal aje, tapi yang penting teknik dan gaya ada!! Wink! wink!

Mawar Merah : Tak boleh berlama-lama depan PC. Jangan ucapkan selamat berehat pada Kak Long sebab minggu ni memang padat dengan aktiviti. Hari Sabtu dan Ahad pun ada program di sekolah dan kena bertugas. Untuk teman-teman blogger, maaflah minggu ni, tak dapat merayau jauh-jauh.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...