Pagi semalam, lebih kurang jam 7.50 pagi, seorang penulis novel terkenal, Azizi Hj Abdullah, telah kembali ke rahmatullah.
Kehilangannya merupakan satu kehilangan yang besar dalam dunia penulisan kerana allahyarham merupakan seorang penulis yang sentiasa aktif dalam bidang penulisan dan seringkali mengambil bahagian dan memenangi sayembara penulisan yang diadakan di tanah air.
Kenangan bersama allahyarham sewaktu Kak Long bekerjasama dengan beliau dalam beberapa program di universiti dahulu akan menjadi kenangan istimewa dalam hidup Kak Long.
Antara novel yang sangat Kak Long gemari ialah Seorang Tua Di Kaki Gunung, Ayahanda & Sanggeetha. Bagi Kak Long, cara penulisan allahyarham sangat bersahaja dan menarik kita sebagai pembaca masuk ke dunia yang diceritakannya.
Kepada yang mengikuti perkembangan blog allahyarham, pasti mengenali kepekaan beliau biarpun semasa berada di hospital. Nampaknya selepas ini, blog allahyarham pastinya akan dirindui.
Pastinya dunia kesusasteraan kehilangan seorang yang sangat istimewa. Kak Long ucapkan takziah kepada kaum keluarganya. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan yang dikasihiNya. Al-fatihah.











