Kereta saya boleh terbang dan berenang.

Share bagaimana nak semak saman trafik. Boleh semak melalui SMS atau di MyEG (kena daftar dulu). Hari ini hari terakhir untuk menjelaskan saman trafik. Berita lewat petang tadi melaporkan orang ramai berpusu-pusu untuk bayar saman. Kalau beberapa hari sebelum ini, kaunter-kaunter dilaporkan tidak sesesak ini, hari ini jumlahnya meningkat luar biasa. Bukan cinta keadaan luar biasa. Memang senario biasa bila ramai yang suka bayar saat-saat akhir. Kalau tak percaya, cuba lihat hari akhir serah borang cukai pendapatan nanti. 

Cerita tentang semak saman trafik ni, Kak Long pernah semak saman traffik ni melalui SMS semasa Kujie buat entri tentang cara semak saman trafik ni. Masa tu, Kak Long tak mempunyai sebarang saman trafik. (Adakah keadaan ini bermakna Kak Long memang seorang pemandu berhemah? huhuhu) Pada April tahun lepas, kereta Kak Long disaman di KLIA kerana kesalahan meletakkan kereta di tempat menurunkan penumpang. Bukan Kak Long yang pandu kereta tu,  tapi kesalahan itu dilakukan oleh orang yang hantar Kak Long ke airport bulan April tahun 2010. Kesalahan tu berlaku selepas menurunkan Kak Long di balai berlepas. Sebabnya, dia nak hantar dokumen yang tertinggal. Dan bila Kak Long semak di MyEG, memang kesalahan tersebut dicatatkan. Dan Kak Long terus bayar selepas balik dari  Sabah. Dah sahih kereta tu kena saman (walaupun sepatutnya pemandu masa tu yang disaman, siapa yang terasa sila angkat tangan! ) bayar ajelah, dan masa tu dapat pengurangan sedikit.

Semasa PDRM menawarkan pengurangan bayaran kompaun bulan Disember lepas, Kak Long  yakin yang Kak Long tidak mempunyai saman tertunggak. Namun begitu, terkejut bila saya semak di MyEG, maklumat seperti berikut muncul.

?????? KOTA MARUDU(P/BARAT) 01EE135604 12-09-2005 11:20:00
SEATBELT OFFENCES
70.00 30.00  NO  NO

Aik??? Apasal hari tu tak ada, sekarang ada?  Tambah pelik, bila lihat tempat kesalahan traffik yang dicatatkan itu? Bila pula kereta Kak Long berada di Sabah? Memang Kak Long pernah ke Sabah beberapa kali, tapi bukan pada tarikh yang dicatatkan itu. Dan kalau pergi  ke Sabah, tak pernah pula Kak Long naik terbang atau berenang dengan kereta tu.

Bila Kak Long semak di ibu pejabat polis yang berhampiran, memang nombor yang tertera ialah nombor kereta Kak Long sebelum ini dan pada tahun tersebut, memang kereta itu masih milik Kak Long yang dipandu untuk ke tempat kerja setiap hari. Tapi pelik, tertera jenis kenderaan itu ialah van persendirian. Bila pula kereta Kak Long bertukar jadi van. Masa Kak Long minta pegawai trafik tu semak, dekat sejam tunggu pun, tak dapat-dapat jawapan. 

Cuba semak betul-betul seman trafik anda, dan pastikan adakah anda betul-betul berada di tempat yang dituliskan dalam saman itu. Kak Long dah hantar surat dan boleh kemukakan bukti bahawa Kak Long berada di Semenanjung Malaysia pada hari tersebut. Kalaupun Kak Long berada di Sabah, takkanlah Kak Long heret sekali kereta tu bersama terbang dan berenang merentasi Laut China Selatan.

Mawar Merah : Undang-undang memang perlu dilaksanakan kepada sesiapapun tanpa mengira pangkat dan darjat, tapi jangan biarkan undang-undang menganiayai orang yang tidak bersalah.

Kasihannya, tak ada siapa nak tegur dia…

Petang tadi, Kak Long menghadiri mesyuarat di sebuah sekolah berhampiran dengan kampung tercinta. Pulang dari mesyuarat, sempatlah juga singgah di rumah ayahanda walaupun baru malam semalam ayahanda datang menziarahi Kak Long yang demam suam-suam kuku.

Semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, melewati sebuah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah yang terletak di sebuah pekan yang telah banyak tanda-tanda kemajuannya. Kebetulan, pelajar-pelajar baru pulang daripada menjalani aktiviti ko-kurikulum. Bosan juga terpaksa memandu perlahan di belakang dua buah bas sekolah yang membawa pelajar-pelajar yang baru pulang itu, namun yang menyedihkan ialah bila sepanjang jalanterpaksa memerhatikan adegan-adegan yang tidak sewajarnya dilakukan oleh manusia yang berpendidikan. Mana tidaknya, sepanjang hampir 5 km Kak Long berada di belakang bas tersebut sehinggalah bas itu membelok ke simpang yang berasingan, Kak Long menyaksikan segala macam plastik, botol, tin, ais krim dan nasib bak tak ada orang pulak yang satu persatu berterbangan keluar dari tingkap bas tersebut.

Mawar Merah : Hati Kak Long cuma merintih bila memikirkan apakah pelajar-pelajar Kak Long juga berperangai sebegitu sedangkan setiap kali di sekolah dan di dalam kelas, sentiasa ditegr dan diingatkan tentang kepentingan menjaga kebersihan. Kalau tidak dari awal mereka ini ditegur dan diingatkan, sampai bilalah agaknya kita akan mempunyai rakyat yang sentiasa tahu menjaga kebersihan di manapun mereka berada.

Sama tapi tak serupa

 

Pejamkan matamu untukku
Dengarlah dunia berkata-kata
Usahkau ragu, di sini tempatmu
Walaupun berubah
di mata kita tetap indah
Selagi kau masih percaya.

Ketawa, kecewa terpisah
Jalan yang lurus yang berhalang
Adakah semua ini yang kuinginkan
Ataupun hanya mengejar dunia semata-mata
Kuharap kau masih percaya.

Adakah semua ini yang kuinginkan
Ataupun hanya mengejar dunia semata-mata
Kuharap kau masih percaya.

Buka mata, biar aku memelukmu
Kita bersama masih muda masih mentah
Kuharap kau masih percaya

Selama ini

Hari ini ada dua acara berbeza. Perlu hadir ke mesyuarat perasmian yang dihadiri oleh MB dan pertemuan semula (a.k.a reunion) dengan rakan-rakan sekelas semasa di sekolah menengah.  Mesyuarat di bangunan bersebelahan sungai dan pantai, manakala pertemuan di tepi sebuah kolam renang dalam kawasan sekolah lama kami.

Mawar Merah : Dua mood yang berbeza tapi sama.
 Yang sama ialah air : Minum banyak-banyak air kosong tambahan pula dalam cuaca panas tak menentu.

Kenapa pula kita tidak boleh melepaskan anjing tersepit?

Kenapa kita tidak digalakkan melepaskan anjing gila tersepit? Ada dua kemungkinan mengapa peribahasa ini terbentuk. Kemungkinan yang pertama disebabkan oleh status anjing tersebut iaitu air liur, najis anjing yang tergolong dalam najis mughallazah (najis berat). Biarpun anjing berguna untuk beberapa keadaan seperti anjing yang dilatih untuk memburu, menjaga keselamatan rumah dan juga untuk mengesan sesuatu dalam tugas anggota polis, anjing tetap tidak digalakkan untuk ditolong kerana kemungkinan yang lain iaitu bimbang jika anjing tersebut menggigit kita semula apabila dilepaskan, apa lagi kalau anjing gila  kerana sifat semulajadi anjing yang suka menggigit.

Peribahasa seperti melepaskan anjing tersepit atau madu diberi dibalas tuba selalu merujuk kepada pertolongan yang diberi kepada makhluk yang tidak tahu membalas, malahan menyusahkan pula orang yang telah membantunya itu. Dengan kata mudah, Melepaskan anjing tersepit, sesudah lepas ia menggigit bermaksud menolong orang yang tidak tahu berterima kasih  (Rujuk Koleksi Peribahasa Melayu di sini), Maka, kalau anjing tersepit, tak perlulah kita bersusah-payah melepaskannya. Tapi kalau manusia yang tersepit, takkan kita nak biarkan begitu sahaja?

Saya juga manusia biasa, pasti ada rasa sedih apabila terasa saya dianiayai oleh mereka yang telah cuba saya bantu. Menganggap bahawa segala yang berlaku minggu ini adalah cubaan Allah bagi mengejutkan manusia lemah seperti saya daripada asyik terlena dibuai kenikmatan yang telah dianugerahiNya, saya tidak jadi terlalu tertekan. Saya yakin sewaktu saya menghulurkan bantuan, saya telah sedaya upaya menyematkan rasa ikhlas dalam diri saya. Saya percaya, jika kita memudahkan orang lain, pasti Allah akan memudahkan kita pula walaupun dalam bentuk yang berlainan. Saya pasti anda juga begitu. Apabila kita mampu, tentu tidak jadi sesuatu yang berat untuk membantu sedaya upaya dengan segala tenaga, masa dan wang ringgit. Tetapi, sekiranya orang yang dibantu tidak pernah ada rasa terima kasih malah semakin cuba menyusahkan kehidupan  orang yang membantunya,  berapa ramai antara kita akan bersabar dan tidak beremosi? Apa yang perlu dilakukan? Saya telah berterus-terang bahawa saya tidak mahu dan tidak mampu lagi membantu. Salahkah?

Mata berpandangan, budi kedapatan

Sejak kecil  kita selalu diajar untuk mengucapkan terima kasih kepada orang yang telah memberi pertolongan atau berbuat baik kepada kita. Ucapan terima kasih memang sudah sebati dalam kehidupan. Pada waktu mulut mengungkapan terima kasih, bagaimana ungkapan hati kita?

Walau sekecil manapun bantuan seseorang kepada kita, kita sering diajar untuk menghargai budi. Saya selalu mengingatkan diri agar jika kita tidak mampu membalas budi orang yang telah membantu kita, sekurang-kurangnya ucapkanlah terima kasih. Biarpun pertolongan itu tidak mampu memuaskan hati kita, sekurang-kurangnya hargailah penat-lelah orang itu. Bukan mudah mahu memenuhi kehendak semua orang. Yang baik pada kita tidak semestinya baik juga pada semua orang. Kita perlu jadi orang yang bersyukur, maka kita perlu belajar menghargai…

 

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...