Semasa melalui satu kawasan perumahan yang terletak di pekan Parit Buntar, mata terpaku melihat keindahan kawasan lapang sebuah rumah yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh tuan rumah tersebut. Kawasannya tidaklah luas sangat, namun masih ada ruang buat mereka berbakti kepada tanah.
Semasa lalu kali pertama, tak sempat nak ambil gambar. Kali kedua lalu, tuan kebun sayur ni sedang menuai hasilnya. Ada sawi, ada salad, ada kangkung, cili padi dan macam-macam lagilah. Di depan rumahpun banyak pasu-pasu pokok cili dan sayuran lain. Gambar ni cuma dapat ambil dengan handphone, semasa kereta sedang bergerak. Nasib baik jadi penumpang, dapat juga merakamkan gambar yang akan menjadi inspirasi ni.


Di kawasan perumahan, ramai juga yang tanam cili api, daun pandan dan sayur bendir atau terung tapi ada juga yang tanam pokok bunga sahaja ataupun tanam rumput mutiara sahaja.
(Eh, suka hati kitalah, itu tanah kita! Bukan salahpun, sebab orang yang sedang tulis ni pun ada juga buat macam tu)
Dulu pernah juga tanam kacang panjang dan kangkung. Tapi lepas tu, tanam sejenis dua pokok dalam pasu aje dengan alasan selalu tak sempat nak jaga. Lagipun, kawasan rumah bukannya besar sangat. Alasan ya alasan!
Lepas tengok kebun sayur mini tu, tiba-tiba rasa insaf pulak nak menumpahkan cinta ke bumi. Hahaha…berkobar-kobar cari baja, tanah hitam dan anak benih untuk merealisasikan keinsafan itu. Tak lama lagi, kawasan sekangkang kera di rumah Kak Long mesti akan lebih banyak oksigen. Bolehlah bersenam di belakang rumah aje. Mesti nyaman dicelah-celah batas sayur yang rimbun. Agaknyalah kan!








