logo-blog

Mawar Merah

Travel Lifestyle Photography Family Food

Bunga Kantan Bunga Siantan

bunga | 16 Aug 2011 | 27

Mari kenali Bunga Kantan yang mempunyai nama saintifik Etlingera elatior juga dikenali sebagai Torch Ginger ataupun bunga siantan (Wikipedia). Memandang bunga warna pink ini boleh medamaikan. Tambahan pula melalui hari yang sungguh meletihkan.

Apa aktiviti hari ini? Jaga periksa, pergi pejabat imigresen dan kemudian bersadai agak lama di balai polis. Macam-macam urusan nak diselesaikan belakangan ini. Pelik dengan sikap segelintir manusia yang sewenang-wenangnya mempergunakan orang lain untuk mendapatkan wang secara mudah tanpa memikirkan perbuatannya itu. Jangan fikir semua orang boleh ditindas begitu sahaja. Bila dah bawa kes polis, barulah sibuk nak selesaikan secara baik.

Lupakan sebentar ragam manusia. Apa menu untuk petang tadi? Teringin nak masak laksa. Dah dapat daun kesum dan bunga kantan, mudah sediakan laksa setelah menyediakan isi ikan sardin. Kalau ikan tamban buat laksa, lagi sedap. Tapi dah tak jumpa ikan tamban, apa yang dapat tu syukur sajalah.

Cerita tentang bunga kantan, serimbunan pokok bunga kantan di belakang rumah ayah Kak Long memang tempat yang sering saya tujui jika pulang ke rumah ayah. (Nasib baik tak tuju pokok buluh betung. Kalau tak, mesti orang terfikir yang Kak Long ni Puteri Buluh Betung pulak!)

Teringat juga kisah bunga kantan yang ditanam di halaman rumah adik Kak Long di Subang Bestari dulu. Bertahun ditanam, tak pernah keluar bunga. Tiba-tiba, bila adik Kak Long sebut nak tebang dan buang sahaja pokok-pokok tu, terus sahaja pokok tu mengeluarkan bunga yang sangat comel. Macam ada perasaan sahaja pokok tu.

Kak Long suka bunga kantan. Masak dengan asam pedas, masak laksa atau buat kerabu. Walaupun dahulu jarang masak laksa sebab Encik Suami tak suka bau bunga kantan dan daun kesum, sekarang ni, dia dah boleh makan pula masakan yang ada campuran bunga kantan dan daun kesum.

Mungkin ramai yang tak suka akan baunya. Anda bagaimana?

Kak Long Mawar Merah:   Kak Long suka juga ambil bunga kantan yang sedang separuh mekar untuk dibuat hiasan di atas meja. Cantik kan!

Tentang Penulis: Mawar Merah

Setiap kehidupan punya cerita dan setiap cerita punya rasa yang boleh dikongsikan bersama. Panggilan mesra ialah Kak Long. Anak sulung daripada 5 orang adik beradik. Sudah berkeluarga dan dikurniakan 2 orang putera yang sentiasa menceriakan kehidupan.

Leave a Reply

Entri Terhangat

Macam Comel Je Macam Cantik Je

Bintang Popular Bulan ini

  • Be the first to comment.

Meta

Tema "FOTOBesar" ini telah direka oleh AzmanIshak untuk Mawar Merah © 2013