Baru-baru ini, satu kes pembunuhan nekad yang dilakukan oleh seorang remaja ada disiarkan di surat khabar dan juga televisyen. Menurut laporan, remaja itu nekad membunuh bapanya kerana tidak sanggup melihat bapanya sering memukul ibunya. Kisah ini mungkin satu antara seribu kisah hitam dalam keluarga yang ada di negara kita.
Kes penderaan terhadap wanita yang digelar isteri bukan satu cerita baru. Biarpun terdapat undang-undang yang mampu melindungi para wanita daripada menjadi mangsa dera suami mereka, namun penderaan ini masih berlaku dan ada kalanya seperti menjadi alat muzik yang mengiringi perjalanan hidup rumahtangga sesetengah pasangan. Kalau difikirkan, memang amat pelik apabila sang isteri mampu menahan sabar menjadi objek sepak terajang suami. Mereka masih mampu menyembunyikan penderitaan yang dihadapi demi menjaga maruah suami dan keluarga yang tidak pernah menjunjung maruah insan yang pastinya bukan sedikit pengorbanannya itu.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kita tidak berada dalam situasi itu, pastinya kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Namun begitu, kita pastinya tidak mahu para wanita yang menjadi mangsa dera ini terus mendiamkan diri.
Membaca berita itu, memang agak membimbangkan kerana, sedar ataupun tidak, anak-anak mangsa keganasan rumah tangga turut menjadi mangsa kedukaan yang dihadapi. Lebih menakutkan jika apa yang disaksikan selama ini bukan sahaja menjadi dendam tak berkesudahan, malah turut membebankan perasaan sehingga mereka terdorong melakukan keganasan sama ada kepada orang yang didendaminya itu ataupun orang lain.
Kak Long memang sangat terkesan dengan berita tersebut kerana baru dua minggu yang lepas berhadapan dengan satu kes yang melibatkan pelajar yang menghadapi masalah emosi berkaitan dengan apa yang kita bincangkan itu.
Menangani pelajar-pelajar yang sedang meningkat remaja memang bukan sekali Kak Long berdepan dengan kisah sebegini. Seringkali juga kes disiplin yang melibatkan keganasan kekasaran dilakukan oleh anak-anak yang datangnya daripada pelajar yang mempunyai masalah keluarga yang sebegitu. Memang sering juga kita menangis bersama mereka mengetahui episod malang yang terpaksa disaksikan sekian lama. Selama bersama kita, mungkin juga kita boleh menasihati mereka dan mendekati mereka supaya tidak melakukan perkara-perkara yang menimbulkan kesan negatif terhadap diri mereka atau orang lain. Namun, apa jaminannya bahawa perkara ini mampu dibendung jika masalah yang dihadapi keluarga mereka masih berterusan.
Kita memang tidak tahu apa punca dan masalah yang berlaku dalam rumah tangga orang lain. Namun kita pasti berharap dapat tidak mungkin hanya membiarkan sahaja sekiranya ada ahli keluarga, jiran tetangga atau teman yang menjadi mangsa perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir manusia yang tidak mampu memikirkan kesan perbuatan mereka itu.
Kita sering diingatkan agar tidak menjaga tepi kain orang sehinggakan ada masanya kita sendiri tidak tahu sama ada membiarkan sahaja apa yang kita lihat dan kita dengar atau sebenarnya kita perlu lupakan sebentar peribahasa itu jika cara itu mampu mengelakkan perkara itu terus berleluasa sehingga kita sendiripun tidak mampu menjangka kesannya terhadap pendera, orang yang didera ataupun ahli keluarga mereka.




