Geselan di bulan puasa

Orang sedang menjalani ibadah puasa, Kak Long nak cerita pasal geselan pulak. Maaflah, Kak Long nak cerita pasal  hal yang terjadi pada Kak Long dan memang tak pernah diharapkan oleh sesiapapun ini.

Sebenarnya, beberapa hari lalu, semasa nak pulang ke rumah selepas tamat waktu persekolahan, Kak Long parking kereta di sebelah seorang rakan sekerja. Kami sempat berbual sebentar sebelum Kak Long masuk ke dalam pejabat. Semasa keluar dari pejabat, dan kembali ke kereta, dia telah memberitahu bahawa dia telah terlanggar kereta Kak Long.

Walaupun taklah teruk sangat, tapi sedih jugak bila tengok bahagian yang dilanggar itu. Rakan sekerja Kak Long kata, dia pun tak perasan, macam-mana dia boleh pusingkan stereng hingga bumper keretanya itu menggesel kereta Kak Long ini. Sedih tu sedih juga. Tapi nak buat macam-mana kan, dah nak kena.

Petang semalam pula, ketika sedang berhenti di lampu isyarat, tiba-tiba datang sebuah motosikal yang tiba-tiba menyelit antara kereta Kak Long dengan sebuah kereta lain. Pada waktu itu, terdengar bunyi yang agak kuat juga. Berderau darah ke muka. Kak Long bagi isyarat suruh berhenti selepas lampu isyarat itu dan Kak Long pasti yang memang penunggang motosikal yang bernombor pendaftaran NBM 8990 itu faham isyarat itu. Selepas lampu isyarat, Kak Long beri isyarat  untuk berhenti  dan berhenti di tepi jalan, tetapi pemandu motorsikal itu terus memecut.  Nasib baik tak teruk, tapi ada lah segaris kesan yang di dinding sebelah pintu Kak Long tu. Geram betul… Dahlah gesel orang, lepas tu langsung tak bertanggungjawab.

Mawar Merah – Mulai semalam, Peperiksaan Percubaan SPM bermula. Lepas ni akan sibuk menanda skrip jawapan.

Kemerdekaan, seorang model dan si putih

Salam Ramadan.

Semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dengan sebaik mungkin.

Permulaan puasa tetapi kami terpaksa juga meneruskan program yang telah ditetapkan. Kata Tok Ketua, bulan Ramadan buka bulan kita tak boleh bekerja dan menangguhkan segala aktiviti. Kebetulan, bulan kemerdekaan tahun ini jatuhnya pada bulan Ramadan. Walaupun waktu persekolahan dipendekkan, namun panitia Kak Long ada agenda yang diatur. Maka, kami jadi kelompok yang lewat pulang hari ini kerana menghadiri taklimat atau kursus pendek.

Continue reading

Yang kurik dan yang merah

Pagi tadi selesai sudah majlis perasmian penutupan Bulan Bahasa peringkat sekolah Kak Long. Dalam kesibukan nak menyambut Ramadhan dan membekalkan persediaan untuk pelajar-pelajar yang akan menghadapi Peperiksaan Percubaan SPM dua minggu lagi, pasti persediaan agak terhad. Namun alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan Tuk Ketua agak berpuas hati dengan majlis pada hari ini.

Selesai sahaja perhimpunan rasmi dan ucapan perasmian oleh Tuk Ketua, pelajar-pelajar yang berjaya dalam pertandingan antara kelas telah membuat persembahan. Antaranya, mendeklamasi puisi, melagukan syair, berpidato dan juga persembahan drama.

Selepas itu, upacara penyampaian hadiah dan akhir sekali nyanyian lagu tema Bulan Bahasa.

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang elok itu budik,
Yang indah itu bahasa.

Melihat sambutan dan penyertaan pelajar sepanjang Bulan Bahasa itu, alhamdulillah. Terkenang pula zaman-zaman di Universiti dulu yang selalu melibatkan diri dalam menganjurkan program yang lebih mencabar. Kalau buat program selalu dapat liputan besar-besaran. Sekali air bah, sekali pantai berubah. Rambut sama hitam, hati lain-lain. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Jadi kenalah pandai-pandai menyesuaikan diri dengan keadaan dan suasana.

Pada sebelah petang, Kak Long sibuk dengan program Teknik Menjawab Soalan bagi pelajar tingkatan 5. Kali ini, rasa lebih gembira sebab pelajar menunjukkan ketekunan dan minat berbanding program sebelum ini. Mungkin keinsafan dah tiba kerana peperiksaan semakin hampir. Semoga semangat dan kesungguhan itu akan berterusan kerana tiada apa yang lebih menggembirakan seorang guru selain kejayaan anak-anak didiknya.

Entri ringan untuk catatan dan peringatan diri sendiri. Tahun hadapan Tuk Ketua sarankan Bulan Bahasa diadakan secara besar-besaran. Hmm, semoga ada Sasterawan dan para ilmuan berkampung di sekolah kami.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...