Di manakah anak anda?

Sekarang ini musim hujan, dan di beberapa negeri, masih lagi ada ancaman hujan lebat dan banjir. Dalam hujan ini, menghadap askara-askara yang pelbagai rupa, sungguh menyiksakan. Seringkali air kopi menjadi peneman kerana terpaksa bekerja hingga dinihari demi menyempurnakan tugas.

Dalam musim hujan yang tidak menentu, seringkali terbaca dan terdengar laporan tentang berita tentang kejadian lemas yang kadang-kala meragut lebih daripada seorang mangsa. Jika membacanya pun pedih, apalagi bagi keluarga yang terlibat.

Baru-baru ini, salah seorang ahli keluarga telah menceritakan pengalaman benarnya ketika bermain golf dengan teman-temannya. Ketika sedang bermain, tiba-tiba hujan lebat sehingga mereka terpaksa berhenti hampir 45 minit menantikan hujan teduh. Sedang berbual dan berehat, tiba-tiba kelihatan 4 orang kanak-kanak lelaki tanpa pakaian berlari-lari dalam hujan mendapatkan mereka yang sedang berehat. Mulanya, mereka mengusik dan pelik kerana mereka tidak berpakaian. Namun bila kanak2 tersebut meminta tolong dengan menyatakan bahawa adik salah seorang daripada mereka yang berempat itu terjatuh ke dalam sungai berhampiran, barulah mereka kelam-kabut. Mereka segera menelefon bantuan dan pergi ke arah sungai tersebut berhampiran padang golf itu yang sebelum hujan tadi sangat tenang airnya, namun kini, sangat menakutkan.

Siapalah yang berani masuk ke situ? Kalau pandai berenang pun, belum tahu mampu melawan arus yang deras. Pasukan bantuan pun bukannya tiba dengan segera. Apabila mereka tibapun, mereka menunggu pasukan skuba, kerana tak siapa mampu menghadapi risiko begitu.

Bila ditanya kepada kanak-kanak tadi, mereka rupanya pergi memancing bersama adik dan sepupunya dan kanak-kanak yang dihanyutkan tadi berumur 10 tahun. Menurut empunya cerita, semua menjangkakan bahawa kanak-kanak tadi, tak mungkin dapat diselamatkan. Mereka turut menelefon ibu bapa mangsa yang terkejut rupanya tidak tahu di mana anak mereka berada.

Pasukan penyelamat menyusur hingga sampai ke hujung padang yang terdapat sebuah kem askar. Berpantang maut sebelum ajal. Sampai di situ, mereka mendapati kanak-kanak tadi telah diselamatkan oleh tentera yang berada di pondok pengawal berhampiran sungai. Menurut mereka, budak tersebut berjaya berpaut pada pohon kayu di situ dan anggota tentera tersebut ternampak lalu menyelamatkannya.

Syukur kerana kanak-kanak itu selamat. Namun, bukan semua yang bernasib baik.

Semoga pada musim hujan ini, ibu bapa lebih prihatin terhadap keselamatan anak yang berada di bawah tanggungjawab mereka kerana pada musim cuti sekolah ini, tentunya mereka tidak boleh mengharapkan para guru untuk memperhatikan anak mereka. Pastikan ibu bapa menasihati anak-anak agar tidak menghampiri kawasan berbahaya kerana sungai atau longkang kecilpun boleh berubah menjadi tempat yang berisiko apabila hujan lebat.

Tahun Baru Hijrah

maalhijrah_hawanafsu-1

Dah masuk tahun 1431H.  Selamat Tahun Baru Buat Semua.

Selalunya, kalau Tahun Baru Masihi tu, bukan main meriah lagi. Di televisyen pula, macam-macam rancangan untuk meraikan Tahun Baru ada. Ucapan SMS pun sampai penuh ‘inbox’.

Berbeza dengan Tahun Baru Hijrah ni. Kadang-kadang macam hari-hari biasa je. Di televisyen pun, adalah sikit pengisiannya, tapi masih tak semeriah sambutan Tahun Baru Masihi.  Kak Long pun sama, SMS ucapan Selamat Menyambut Maal Hijrah pun fikir kat siapa aku boleh hantar. Syukurlah kerana pada tahun ini, jika melihat panduan rancangan televisyen, ada siaran langsung sempena Tahun Baru Maal Hijrah ni dari Masjid Negara kalau tak silap.Nasib baik kat masjid tu ada buat sedikit sambutan, kalau tak, mesti Tahun Baru Hijrah ni berlalu begitu saja. (Kak Long mengata diri sendiri lah… Orang lain tu Kak Long fikir tentu lebih baik penghayatannya! )

Sebenarnya petang tadi, terfikir juga Kak Long apabila melihat sambutan kat masjid tu, boleh bilang berapa orang yang datang terutamanya pemuda dan para remaja. Memanglah kita ni kalau nak berdoa ke, pergi masjid ke, tak perlu hari-hari tertentu dan ada yang kata, kalau kita pergi masjid tu pun belum tentu kita lebih baik daripada yang tak pergi masjid. Kak Long setuju, tapi apalah salahnya kalau kita meraikan ketibaan tahun Baru Hijrah ni bersama-sama, beramai-ramai dengan pengisian yang bermakna. Kurang-kurangnya, teringat juga nak berdoa dan mana tahu, Tuhan bukakan hati kita untuk lebih menginsafi kelemahan dan kelalaian kita. Kalau Tahun Baru Masihi tu, ramai pula anak muda kita yang sanggup bersesak-sesak kat beberapa tempat yang tertentu, nak sambut Tahun Baru. Yang tak tahan tu, bila ramai betul pemuda pemudi yang membonceng motosikal menuju tempat-tempat peranginan atau tepi pantai sampai ada banyak perkara-perkara yang tak sewajarnya berlaku.

Namun Kak Long tahu, masih ramai yang sedar dan menghayati Tahun Baru Hijrah ini lebih daripada tahun-tahun sebelumnya.  Syukur Alhamdulillah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...