Lindungi Diri Anda

KUALA LUMPUR 2 Julai – Sebanyak 48 kes baru selesema babi atau influenza A (H1N1) dicatatkan hari ini di seluruh negara menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 244 kes.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sebanyak 36 kes membabitkan warganegara Malaysia manakala 12 warga asing iaitu Indonesia (4 kes), Singapura (2), Filipina (2), Australia (2) dan masing-masing satu kes rakyat China serta Itali.

Katanya, daripada 244 kes, sebanyak 206 kes adalah import manakala 38 kes lagi merupakan jangkitan tempatan dengan tiada kematian dilaporkan.

Antara petikan berita daripada Utusan Online hari ini….

 

Bila baca berita ni,  rasa risau juga dengan wabak yang semakin hari semakin bertambah bilangan kesnya ini.  Kak Long nak kongsilah sedikit apa yang disampaikan oleh Pegawai kementerian Kesihatan semasa mereka berkunjung ke sekolah Kak Long beberapa hari lepas.

 Isnin lepas, diadakan satu ceramah kesihatan tentang H1N1.  Mendengar ceramah itu, terasa betapa mudahnya virus ini berjangkit dan tidak hairanlah kenapa ia begitu cepat menular ke seluruh dunia.

Kami diberikan taklimat tentang kes-kes terbaru H1N1, juga tentang cara-cara untuk membendung daripada jangkitan virus ini. Antaranya:-

1)      Elakkan tempat awam.

2)   Kerap basuh tangan dengan sabun. Jika kemudahan mencuci tangan tidak didapati, gunakan bahan pencuci tangan antiseptik yang sesuai atau tuala kertas berantiseptik. Selepas itu, cui tangan dengan air sebaik sahaja anda boleh berbuat demikian.

Basuh tangan dengan cara yang betul.

Cara-caranya:-
a) Basuhkan tangan dan ratakan sabun dengan sempurna.
b) Gosok kedua-dua tapak tangan.
c) Gosok setiap jari dan celah jari.
d) Gosok kuku di tapak tangan.
e) Gosok belakang tangan dan celah jari.
f) Basuh tangan dengan air bersih secukupnya.
g) Keringkan tangan dengan kain bersih atau tisu.

 3)       Gunakan tisu atau sapu tangan bila anda batuk dan bersin.

4)       Elakkan menyentuh mata, hidung dan mulut.

5)       Elakkan daripada melawat negara-negara yang dilanda dengan Influenza A (H1N1).

Semoga semua usaha untuk mengatasi wabak ini akan berjaya.

   

Gurindam Kasihnya Ibu

Bismillah itu permulaan nama,
Keadaan ZatNya bersama-sama.

Dilahirkan engkau melihat dunia,
Limpah Allah maha kuasa.

Dikandung ibumu sembilan bulan,
Lebih dan kurang tidak ditentukan.

Diperanakkan dikau beberapa kesakitan,
Beberapa pantang minum dan makan.

Tatkala dikau lagi kanak-kanak,
Engkau tidur mata ibumu jinak.

Nasihat ibumu janganlah kau bantah,
Dijaga dipelihara sangatlah susah.

Dialih ke kanan ke kiri pun basah,
Jika kau menangis hatinya susah.

Setelah engkau sudahlah ada,
Siang dan malam ibumu berjaga.

Tidurpun hanya barang seketika,
Makan dan minum tidak kuasa.

Dilapikkan dengan kain sarung,
Diangkat ditimang serta dibedung.

Apabila terjaga terus didukung,
Kasih dan sayang tinggi menggunung.

Tiadalah tentu siang dan malam,
Tidurpun tidak dapat ditilam.

Terkejut terjaga di tengah malam,
Bangun memangku di dalam kelam.

Jika ibumu orang berada,
Diambilnya pembantu menolong dia,

Apabila engkau dapat mengaji,
Ibu ayahmu sukalah hati.

Membaca Al Quran sudah kau reti,
Untuk bekalan di akhirat nanti.

Awaluddin Makrifatullah,
Awal agama mengenal Allah.

Berkat syafaat rasulullah,
Umurnya panjang rezekinya murah.

Apabila ibumu sudah tiada,
Jasa ibumu jangan kau lupa.

Janganlah jadi anak durhaka,
kelak tak cium baunya syurga.

Doakan rohnya setiap hari,
Agar rohnya berbau kasturi,

Itu semua takdir Ilahi,
Semoga ditempatkan di syurga nanti.

Sebenarnya, Kak Long tertarik pada gurindam yang didendangkan pada majlis yang Kak Long hadiri pada Ahad lepas iaitu  Majlis Cukur Jambul dan Aqiqah.

Selepas bermarhaban, kaum bapa berselawat, menepungtawar dan menyapukan kepala anak kecil tersebut dengan air kelapa dan menggunting sedikit daripada rambut bayi tersebut sebagai simbolik majlis bercukur.

Selepas jamuan makan, diadakan upacara berendoi. Pada upacara itu, bayi  yang diraikan itu dimasukkan ke dalam buaian. Kemudian, nendanya memperdengarkan gurindam tersebut.

Semasa mendengar gurindam ini didendangkan, sayu rasa hati. Teringat jasa ibu yang begitu banyak berkorban melahir dan membesarkan kita.

DSC_0926

Terima kasihlah kepada mak lang yang telah sudi membantu Kak Long untuk mendapatkan sebahagian daripada gurindam tersebut untuk tatapan dan peringatan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...